Friday, January 23, 2009

KHALIFAH UMAR AL-KHATAB

Nama sebenar: Umar b Al-Khattab b Nufail b Abdul Uzza b Ribaah b Abdillah b Qarth b Razaah b 'Adi b Kaab
Nama Ibu: Hantamah bte Hasyim bin Al-Mughirah bin Abdillah bin Umar bin Makhzum.
Gelaran: Al-Faruq
Keturunan: Arab Quraisy (Kabilah Bani Adi)
Tarikh lahir: 13 tahun selepas berlakunya peristiwa Abrahah (menurut Imam Nawawi)
Jawatan: Khalifah Ar-Rasyidin Kedua
Tarikh Lantikan: 634M
Tempoh Jawatan: 10 tahun
Tarikh M/Dunia: 23H @ 644M
Umur: 63 tahun
Semasa sebelum memeluk Islam, beliau merupakan duta bagi kaumnya terutama untuk mengadakan perundingan antara kabilah yang bermusuhan. Beliau merupakan mertua Rasulullah SAW apabila Rasulullah bernikah dengan anaknya, Hafsah bte Umar. Beliau salah seorang yang dijamin Syurga oleh Rasulullah SAW.
Sifat Peribadi Umar al-Khattab

Ubaidullah bin Umar menceritakan bahawa suatu hari para sahabat melihat Umar memikul tempat air di bahunya. Lalu mereka bertanya : "Wahai Amirul Mukminin ! Mengapa tuan sendiri yang memikul air ini ?" Jawab Umar al-Khattab : "Saya merasakan bahawa diri saya telah takbur, lalu saya mengangkat air ini untuk menundukkannya"

Kata Aslam beberapa orang berbicara dengan Abdul Rahman bin Auf. Kata mereka : "Umar al-Khattab telah menimbulkan rasa takut kami sehingga mata kami tidak berani bertentangan mata dengannya". Hal ini diadukan oleh Abdul Rahman bin Auf. Lalu Umar al-Khattab berkata : "Benarkah mereka berkata demikian ?" "Demi Allah, saya telah cuba melunakkannya, sehingga lantaran lunak saya itu saya takut dimarahi Allah. Saya cuba pula dengan sikap keras sehingga saya takut Allah marah kepada saya. Bagaimanakah lagi ? Bagaimana nasib saya yang berbeza dengan mereka ?"

Diriwayatkan oleh Umar bin Murrah bahawa seorang lelaki bertemu dengan Umar al-Khattab dan berkata : "Bersikap lunaklah kepada kami, sebab kami amat gentar melihatmu !" Umar menjawab : "Adakah saya berbuat sesuatu yang zalim ? " Jawab lelaki itu : "Tidak" Kata Umar lagi : "Kalau begitu, biarlah Allah menambah rasa takut dalam hatimu terhadapku"
Menurut Barrak bin Makrur : "Pada suatu hari Umar al-Khattab naik ke mimbar untuk memberi tazkirah, tiba-tiba dia merasa sakit. Menurut para jamaah, ubatnya adalah madu lebah dan di Baitulmal banyak tersimpan madu lebah" Kata beliau : "Kalau tuan-tuan izinkan, saya akan gunakannya, tetapi kalau tidak diizinkan haram ke atas saya mengambilnya"

لا إله إلا الله محمد رسول الله - LAILA HA ILLALLAH MUHAMMADUR RASULULLAH

Syahadah yang bererti “Tiada Tuhan Melainkan Allah (dan) Muhammad itu Pesuruh Allah” adalah suatu ucapan yang dibuat oleh seseorang untuk memberitahu tentang hakikat yang tersembunyi di dalam jiwanya, berupa keyakinan tentang wujudnya Zat Allah SWT dan bahawasanya Allah SWT itu Esa, tiada Tuhan yang lain daripadaNya.

Apabila seseorang telah menuturkan ungkapan dua kalimah syahadah itu, kita mesti menganggapnya sebagai seorang Muslim yang beriman disisi Allah SWT dan beroleh ganjaran bahagia dari ucapan lidahnya. Dan berlakulah ke atasnya segala hukum yang berkaitan atas seluruh umat Islam dan haknya sebagai Muslim. Kita tidak perlu menyelidiki benar atau tidak benarnya pengakuan itu kerana hal itu adalah berkaitan dengan perasaan dan keyakinan hatinya. Pengakuan ini adalah sesuatu yang bersangkutan dengan urusan Allah SWT yang Maha Mengetahui segala isi hati. Kita bukan penghukum kepada isi hati orang.

Hadith Rasulullah s.a.w di dalam Kitab Bukhari Juz 1 halaman 17 & 18 yang diriwayatkan oleh Saiyidina Anas bin Malik r.a. menyebut:-
“ Akan keluar dari neraka jahanam itu setiap orang yang mengucap La ilaha illal’lah walaupun di dalam hatinya ada kebaikan hanya sebesar biji gandum. Kemudian akan keluar dari neraka setiap orang yang mengucap La ilaha illal’lah walaupun di dalam hatinya ada kebaikan sebesar melukut. Akhir sekali setiap orang yang mengucap La ilaha illal’lah akan keluar dari neraka walaupun ada di dalam hatinya kebaikan sebesar debu "

Allah Azza wajalla berfirman:-
“ Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua pun) dan akan mengampunkan (dosa) yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya) “ (Surah an-Nisa’: Ayat 116)

Dengan demikian Jumhur Ulama’ secara yakin menyebut bahawa setiap orang yang mengucap La ilaha illal’lah walaupun di dalam hatinya cuma ada kebaikan sebesar debu, ia bukan seorang musyrik, bukan juga seorang kafir. Justeru itu Islam mengharamkan dan berdosa bagi kita untuk memanggil-manggil atau menggelar seorang Muslim lain dengan gelaran musyrik, kafir ataupun lain-lain gelaran yang tidak elok. Gelaran-gelaran sebegini hanya menimbulkan permusuhan dan perkelahian. Kita sendiri tidak suka jika kita, isteri dan anak-anak kita dipanggil dengan gelaran musyrik, kafir, fasiq dan sebagainya. Kita bukanlah manusia maksum yang tidak berdosa. Islam hanya mengharuskan kita membenci perbuatan dosa tersebut bukan orang (sipelaku)nya.

Justeru itu, Nabi s.a.w. dan para sahabat tidak jemu-jemu menyeru manusia musyrik dan jahilliyyah di zaman mereka kepada kalimah Tayyibah di atas. Ini dilakukan dengan penuh kasih sayang dan pengharapan agar mereka memeluk Islam. Kalaulah Nabi dan para sahabat membenci kaum musyrik , Islam tidak akan berkembang. Islam tidak boleh berkembang dan dikembangkan atas dasar kebencian dan permusuhan. Nabi s.a.w. dan para sahabat tidak membenci individu. Makhluk yang membenci dan memusuhi manusia hanyalah syaitan dan iblis.

Al-Miqdad bin Amru al-Kindi, salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang ikut serta dalam peperangan Badar telah meriwayatkan bahawa beliau telah memberitahu Rasulullah s.a.w.:-
“ Wahai Rasulullah s.a.w.! Hamba telah bertembung dengan seorang kafir lalu hamba pun bertempur. Tiba-tiba dia sempat menetak sebelah tangan hamba lalu putuslah tangan hamba itu. Kemudian sikafir itu menyelamatkan dirinya di sebalik sebatang pokok sambil berkata: Aku masuk Islam kerana Allah SWT. Adakah boleh hamba membunuhnya setelah dia berkata demikian? Maka Rasulullah s.a.w. menjawab: “Jangan kamu bunuh dia”. Al-Miqdad pun bertanya lagi: Ya Rasulullah, dia menetak putus sebelah tangan hamba kemudian baru dia mengaku masuk Islam. Bolehkah hamba membunuhnya? Rasulullah s.a.w. pun menjawab: “ Jangan kamu bunuh sebab kalau kamu bunuh dia maka taraf dia sama dengan taraf kamu sebelum kamu cuba membunuhnya tadi dan kamu pula mendapat taraf yang sama dengan dia sebelum dia mengucap dua kalimah syahadah itu “ (Al-Bukhari, Juz IX, halaman 3-4)

Abu Dzar al-Ghifari telah meriwayatkan hadith dari rasulullah s.a.w. dimana Rasulullah s.a.w. telah bersabda:-
“ Ini dia Jibrail datang menemuiku sambil memberitahu begini: “Sesiapa dari kalangan umatmu (Muhammad) yang mati dalam keadaan tidak melakukan syirik kepada Allah SWT akan dapat masuk syurga”. Saya bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Sekalipun dia telah berzina dan mencuri?”. Jawab Rasulullah s.a.w.: “Ya, sekalipun dia telah berzina dan mencuri!”. (Al-Bukhari Juz VIII, halaman 117-118)

Nas-nas ini yang jelas dan sah datangnya daripada Rasulullah s.a.w. adalah merupakan dalil yang tegas (qat’iy) atas benarnya hukum yang telah disepakati oleh ulama’ muktabar iaitu: Adalah menjadi hukum dan perintah Allah SWT supaya kita memandang dan menganggap setiap orang yang mengucap dua kalimah syahadah itu sebagai seorang beragama Islam (Muslim) dan saudara kita yang sah dan berlaku ke atasnya segala hukum hakam yang berkaitan dengan orang Islam dan hendaklah kita melayaninya dan hak-haknya mengikut lunas-lunas dan garis-garis hukum syari’at Islam. Kita serahkan urusan hakikat hatinya kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui segala rahsia hati manusia.

Haji Muhammad Said Bin Haji Jamaluddin Al Linggi

Sheikh Haji Muhammad Said Al Linggi adalah seorang ulama yang terkenal di Negeri Sembilan pada penghujung kurun ke 19 dan awal kurun ke 20. Beliau dilahirkan pada tahun 1874 di Makkah, Arab Saudi. Ibunya (Hajjah Safiah binti Haji Muhammad Saleh al-Fatani) seorang yang berasal dari Pattani, Selatan Thai manakala bapanya ialah Sheikh Jamaluddin Al Linggi yang berasal dari Negeri Sembilan. Datuknya, Haji Idris anak Hajjah Rahimah binti Khatib Musa bin 'Amaluddin bin Awaluddin� Dato' Awal bin Faqih @ Daeng Abdul Malik adalah seorang alim yang salih lagi keramat. Hampir separuh dari usianya dihabiskan di kota ilmu Makkah kerana menuntut ilmu. Haji Idris berketurunan campuran Minangkabau-Bugis Linggi. Ini kerana isteri Khatib Musa yang bernama Zalikha itu adalah anak seorang pembesar di Kampung Semabuk, Minangkabau. Manakala Dato' Awaluddin pula disebut-sebut sebagai peneroka daerah Linggi (1783) di Negeri Sembilan.

Satu sumber lain mengatakan nasab sebelah datuk bapanya sampai kepada Saidina Abdullah bin Abbas, sepupu Rasulullah s.a.w. Dikatakan demikian kerana suami Hajjah Rahimah, iaitu Haji Abdul Mu'min Linggi bin Syaikh Muhammad Nakhoda Minangkabau bin Ahmad bin Umar bin Saleh bin Abdullah adalah berasal dari Hadramaut (selatan tanah Arab).

Haji Muhammad Said dibawa pulang ke Pattani oleh ibunya ketika berusia tujuh tahun dan dibesar serta mendapat pedidikan agama di Pattani. Ketika berusia 17 tahun dia pergi semula ke Makkah untuk melanjutkan pelajarannya.

Beliau pulang semula ke Tanah Melayu ketika berumur 30 tahun dan mengambil keputusan menetap di Kampung Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan. Mulai itu dia membuka kuliah mengajar agama secara pondok disamping pergi memberi ceramah dan kuliah di segenap ceruk rantau. Selain mengajar agama, Sheikh Muhammad Said juga mengarang kitab-kitab agama. Beliau adalah seorang guru (amat disayangi oleh anak-anak muridnya), pengamal dan pengasas Tariqat Ahmadiah Idrisiyah di Asia Tenggara.

Beliau meninggal dunia pada tahun 1926 ketika berusia 52 tahun dan dikebumikan di Seremban. Kawasan perkuburan itu dinamakan Makam Tuan Haji Said (sebahagian besar tanah kepunyaannya yang diwakafkan untuk dijadikan kawasan tanah perkuburan).
Sebuah sekolah dinamakan menurut namanya iaitu Sekolah Menengah Agama Sheikh Muhammad Said di Seremban.

Thursday, January 22, 2009

Umat Muhammad SAW Diseru Meniti Sirat

Allah Taala menyeru: “Wahai Muhammad! Bawalah umatmu untuk dihisab dan lintaskan mereka di atas Sirat yang dilebarkan. Panjangnya sejauh 500 tahun perjalanan.”

Malaikat Malik berdiri di pintunya (neraka). Dia menyeru: “Wahai Muhammad! Sesiapa yang datang dari umatmu dan bersamanya ada perlepasan dari Allah Taala, maka dia akan terselamat. Sekiranya sebaliknya maka, dia akan terjatuh di dalam neraka. Wahai Muhammad! Katakan kepada orang yang diringankan agar berlari! Katakan kepada orang yang diberatkan agar berjalan!”

Nabi Muhammad SAW bersabda kepada malaikat Malik: “Wahai Malik! Dengan kebenaran Allah Taala ke atasmu, palingkanlah wajahmu dari umatku sehingga mereka dapat melepasi! Jika tidak, hati mereka akan gementar apabila melihatmu.”

Malaikat Malik memalingkan mukanya dari umat Nabi Muhammad SAW. Umat Nabi Muhammad SAW telah di pecahkan kepada sepuluh kumpulan. Nabi Muhammad SAW mendahului mereka lalu bersabda kepada umatnya: “Ikutlah aku wahai umatku di atas Sirat ini!”

Kumpulan pertama berjaya melintasi seperti kilat yang memancar. Kumpulan kedua melintasi seperti angin yang kencang. Kumpulan ketiga melintasi seperti kuda yang baik. Kumpulan yang keempat seperti burung yang pantas. Kumpulan yang kelima berlari. Kumpulan keenam berjalan. Kumpulan ketujuh berdiri dan duduk kerana mereka dahaga dan penat. Dosa-dosa terpikul di atas belakang mereka.

Nabi Muhammad SAW berhenti di atas Sirat. Setiap kali, baginda SAW melihat seorang dari umatnya bergayut di atas Sirat, baginda SAW akan menarik tangannya dan membangunkan dia kembali. Kumpulan kelapan menarik muka-muka mereka dengan rantai kerana terlalu banyak kesalahan dan dosa mereka. Bagi yang buruk, mereka akan menyeru: “Wahai Muhammad SAW!”

Nabi Muhammad SAW berkata: “Tuhan! Selamatkan mereka! Tuhan! Selamatkan mereka!
Kumpulan ke sembilan dan ke sepuluh tertinggal di atas Sirat. Mereka tidak diizinkan untuk menyeberang. Dikatakan bahawa, di pintu syurga, ada pokok yang mempunyai banyak dahan. Bilangan dahannya tidak terkira melainkan Allah Taala sahaja yang mengetahui. Di atasnya ada kanak-kanak yang telah mati semasa di dunia ketika umur mereka dua bulan, kurang dan lebih sebelum mereka baligh. Apabila mereka melihat ibu dan bapa mereka, mereka menyambutnya dan mengiringi mereka memasuki syurga. Mereka memberikan gelas-gelas dan cerek serta tuala dari sutera. Mereka memberi ibu dan bapa mereka minum kerana kehausan kiamat. Mereka memasuki syurga bersama-sama.

Hanya tinggal, kanak-kanak yang belum melihat ibu dan bapa mereka. Suara tangisan mereka semakin nyaring. Mereka berkata: “Aku mengharamkan syurga bagi diriku sehingga aku melihat bapa dan ibuku.”

Kanak-kanak yang belum melihat ibu dan bapa mereka telah berkumpul. Mereka berkata: “Kami masih di dalam keadaan yatim di sini dan di dunia.”

Malaikat berkata kepada mereka: “Bapa-bapa dan ibu-ibu kamu terlalu berat dosa mereka. Mereka tidak diterima oleh syurga akibat dosa mereka.”

Mereka terus menangis malah lebih kuat dari sebelumnya lalu berkata: “Kami akan duduk di pintu syurga moga-moga Allah Taala mengampuninya dan menyatukan kami dengan mereka.”
Demikianlah! Orang yang melakukan dosa besar akan dikurung di tempat pembalasan yang pertama oleh mereka iaitu Sirat. Ia dipanggil “Tempat Teropong.” Kaki-kaki mereka akan tergantung di Sirat.

Nabi Muhammad SAW melintasi Sirat bersama orang-orang yang soleh di kalangan yang terdahulu dan orang yang taat selepasnya. Di hadapannya, ada bendera-bendera yang berkibaran. Bendera Kepujian berada di atas kepalanya.

Apabila bendera baginda menghampiri pintu syurga, kanak-kanak akan meninggikan tangisan mereka. Rasulullah SAW bersabda: “Apa yang berlaku pada kanak-kanak ini?” Malaikat menjawab: “Mereka menangis kerana berpisah dengan bapa dan ibu mereka. “Nabi SAW bersabda: “Aku akan menyelidiki khabar mereka dan aku akan memberi syafaat kepada mereka, Insya Allah.”

Nabi Muhammad SAW memasuki syurga bersama umatnya yang berada di belakang. Setiap kaum akan kekal didalam rumah-rumah mereka. Kita memohon kepada Allah Taala agar memasukkan kita di dalam keutamaan ini dan menjadikan kita sebahagian daripada mereka.

Monday, January 19, 2009

Salah Satu Sebab Allah S.W.T Mewajibkan Puasa

NAFSU YANG DEGIL

Dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke 13 Hijrah, menerangkan bahwa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud : "Wahai akal mengadaplah engkau." Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T., kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal berbaliklah engkau!", lalu akal pun berbalik.

Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud : "Wahai akal! Siapakah aku?". Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah."
Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau."

Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!". Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau."

Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau."

Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku."
Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahwa dengan sebab itulah maka Allah S.W.T mewajibkan puasa.

Kesimpulan dalam kisah ini, dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat, oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau dia yang mengawal kita maka binasalah kita.