Friday, January 23, 2009

Haji Muhammad Said Bin Haji Jamaluddin Al Linggi

Sheikh Haji Muhammad Said Al Linggi adalah seorang ulama yang terkenal di Negeri Sembilan pada penghujung kurun ke 19 dan awal kurun ke 20. Beliau dilahirkan pada tahun 1874 di Makkah, Arab Saudi. Ibunya (Hajjah Safiah binti Haji Muhammad Saleh al-Fatani) seorang yang berasal dari Pattani, Selatan Thai manakala bapanya ialah Sheikh Jamaluddin Al Linggi yang berasal dari Negeri Sembilan. Datuknya, Haji Idris anak Hajjah Rahimah binti Khatib Musa bin 'Amaluddin bin Awaluddin� Dato' Awal bin Faqih @ Daeng Abdul Malik adalah seorang alim yang salih lagi keramat. Hampir separuh dari usianya dihabiskan di kota ilmu Makkah kerana menuntut ilmu. Haji Idris berketurunan campuran Minangkabau-Bugis Linggi. Ini kerana isteri Khatib Musa yang bernama Zalikha itu adalah anak seorang pembesar di Kampung Semabuk, Minangkabau. Manakala Dato' Awaluddin pula disebut-sebut sebagai peneroka daerah Linggi (1783) di Negeri Sembilan.

Satu sumber lain mengatakan nasab sebelah datuk bapanya sampai kepada Saidina Abdullah bin Abbas, sepupu Rasulullah s.a.w. Dikatakan demikian kerana suami Hajjah Rahimah, iaitu Haji Abdul Mu'min Linggi bin Syaikh Muhammad Nakhoda Minangkabau bin Ahmad bin Umar bin Saleh bin Abdullah adalah berasal dari Hadramaut (selatan tanah Arab).

Haji Muhammad Said dibawa pulang ke Pattani oleh ibunya ketika berusia tujuh tahun dan dibesar serta mendapat pedidikan agama di Pattani. Ketika berusia 17 tahun dia pergi semula ke Makkah untuk melanjutkan pelajarannya.

Beliau pulang semula ke Tanah Melayu ketika berumur 30 tahun dan mengambil keputusan menetap di Kampung Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan. Mulai itu dia membuka kuliah mengajar agama secara pondok disamping pergi memberi ceramah dan kuliah di segenap ceruk rantau. Selain mengajar agama, Sheikh Muhammad Said juga mengarang kitab-kitab agama. Beliau adalah seorang guru (amat disayangi oleh anak-anak muridnya), pengamal dan pengasas Tariqat Ahmadiah Idrisiyah di Asia Tenggara.

Beliau meninggal dunia pada tahun 1926 ketika berusia 52 tahun dan dikebumikan di Seremban. Kawasan perkuburan itu dinamakan Makam Tuan Haji Said (sebahagian besar tanah kepunyaannya yang diwakafkan untuk dijadikan kawasan tanah perkuburan).
Sebuah sekolah dinamakan menurut namanya iaitu Sekolah Menengah Agama Sheikh Muhammad Said di Seremban.

1 comment:

  1. Assallamualaikum. Semoga Allah swt mencucuri roh beliau dan digolongkan dikalangan orang-orang soleh dan beiman.

    ReplyDelete