Friday, January 9, 2009

Jumaat


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik dan semulia-mulia hari terbit matahari padanya ialah hari Jumaat.” (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud)

Pada Jumaat, Allah menciptakan Adam sebagai manusia pertama di muka bumi dan Allah menurunkannya ke bumi juga pada Jumaat.
Hari Jumaat juga Allah terima taubat Adam yang melanggar larangan-Nya ketika di syurga. Adam wafat pada Jumaat.

Kemuliaan hari Jumaat bila dibandingkan dengan hari lainnya dalam seminggu, laksana kemuliaan Ramadan dibandingkan dengan bulan lainnya dalam setahun. Waktu mustajab pada Jumaat, seperti waktu mustajab pada malam lailatul qadar pada Ramadan.

Peristiwa yang telah berlaku pada hari Jumaat:


  • Kemenangan Nabi Muhammad SAW dalam perang Badar dan sekali gus dapat memasuki kota Makkah berlaku pada hari Jumaat.

  • Pasukan Salahuddin Al-Ayyubi beroleh kemenangan dalam pertempuran Hittin dan berjaya membebaskan Baitulmaqdis daripada cengkaman orang Kristian.

  • Berhasilnya Umar Al-Khattab menyelamatkan kota Palestin

Jelas kemuliaan, keagungan dan kebesaran Jumaat ialah apabila Allah mewajibkan solat fardu Jumaat bagi lelaki sementara hari lain mereka diwajibkan menunaikan solat Zuhur.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Solat Jumaat wajib bagi setiap Muslim, dilaksanakan secara berjemaah kecuali empat golongan iaitu hamba sahaya, orang perempuan, anak kecil dan orang yang sakit.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan Al-Hakim)

Wajib dan pentingnya solat Jumaat dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang beriman! Apabila kamu diseru untuk menunaikan ibadah solat pada hari Jumaat, maka hendaklah kamu keluar dan berjalan (dan berhimpun) untuk mengingat Allah dan hendaklah kamu semua meninggalkan segala urusan perniagaan (jual beli). Yang demikian itu adalah suatu kebaikan bagi kamu jika kamu mengetahuinya.” (Surah al-Jum’ah, ayat 9)

Diriwayatkan Imam Ahmad dan dihukumkan sebagai hadis hasan oleh Al-Albani, daripada Abu Ghalib, daripada Abu Umamah mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Pada Jumaat, malaikat duduk di pintu masjid. Mereka membawa lembaran catatan amal dan menuliskan pahala bagi orang yang masuk masjid. Jika imam keluar maka lembaran catatan itu ditutup.”

Diriwayatkan oleh At-Tirimizi daripada Abu Ja’d Adh-Dhamri bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Barang siapa yang meninggalkan tiga kali solat Jumaat kerana menganggap remeh, nescaya Allah akan mencop hatinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud, At-Tirmizi, An-Nisa’i dan Ibnu Majah)

Diriwayatkan Imam Muslim daripada Abdullah Umar dan Abu Hurairah, bahawa kedua-duanya mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Kebinasaan terhadap kaum yang meninggalkan solat Jumaat atau Allah akan menutup hati mereka, kemudian menjadikan mereka orang yang lalai.” (Hadis riwayat Muslim, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)

Menurut daripada hadis-hadis, pada hari Jumaat juga kiamat akan berlaku.

No comments:

Post a Comment